Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat apabila peniaga dan pelabur tidak lagi melihat emas sebagai aset selamat dalam situasi geopolitik.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata konflik yang semakin memuncak di Asia Barat telah meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak, dengan harga minyak kekal tinggi dan pasaran segera mengurangkan jangkaan terhadap sebarang pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) tahun ini.
“Perubahan itu mendorong hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi dan mengukuhkan dolar Amerika Syarikat, yang kedua-duanya memberi tekanan kepada emas,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 1.39 peratus kepada US$98.86 setong.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semasa Mac 2026 susut kepada US$5,103.8 bagi setiap auns troy berbanding US$5,192.30 pada Khamis, April 2026 turun kepada US$5,122.6 bagi setiap auns troy daripada US$5,211.10 semalam, manakala Mei 2026 merosot kepada US$5,141.8 bagi setiap auns troy daripada US$5,230.30 sebelumnya.
Kontrak Jun 2026 dan Ogos 2026 turut ditutup rendah pada US$5,175.7 bagi setiap auns troy berbanding US$5,264.20 sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada lapan lot berbanding enam lot semalam, manakala kepentingan terbuka naik kepada 78 kontrak daripada 76 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$5,130.1 setiap auns troy pada penetapan petang oleh London Bullion Market Association pada 12 Mac, 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial