PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Jejaki Penurunan Wall Street

16/03/2026 11:34 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Isnin, menjejaki penurunan Wall Street malam sebelumnya susulan kenaikan harga minyak mentah.

Pada 9.20 pagi, FBM KLCI turun 9.77 mata atau 0.57 peratus kepada 1,689.08 daripada paras 1,698.85 ketika ditutup pada Jumaat.

 Indeks dibuka 2.44 mata lebih rendah pada 1,696.41.

Sentimen pasaran keseluruhan negatif dengan 247 kaunter menurun berbanding 193 kaunter meningkat, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,916 tidak diniagakan, dan 21 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.83 juta saham bernilai RM126.94 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong apabila harapan untuk konflik AS-Iran berakhir lebih awal semakin pudar.

“Pasaran Asia mengalami penurunan yang ketara memandangkan ketegangan Timur Tengah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mereda, mendorong harga minyak mentah lebih tinggi dan menjadikan peniaga sebagai penjual.

“Untuk hari ini, dagangan di bursa tempatan dijangka perlahan memandangkan harga minyak mentah yang kekal tinggi, dengan indeks berkemungkinan berlegar antara 1,695 dan 1,705,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sektor penanaman kelapa sawit mungkin menarik perhatian dengan harga minyak sawit mentah berada pada RM4,500 satu tan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mencatatkan pergerakan tertinggi sekitar 2.5 peratus semasa ketegangan AS-Iran selama dua minggu, menunjukkan pasaran domestik diselaraskan secara agak sederhana berbanding dengan perubahan mendadak dalam penunjuk perkapalan dan komoditi.

“Bagi Malaysia, reaksi sederhana dalam FBM KLCI menunjukkan pasaran domestik lebih dipengaruhi oleh sentimen risiko serantau dan kecairan dolar global berbanding pendedahan langsung terhadap kejutan awal dalam sektor tenaga.

“Pendedahan Malaysia terhadap komoditi pula terutamanya dalam sektor tenaga mungkin memberikan sedikit perlindungan, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko penurunan sekiranya harga minyak terus tinggi,” katanya.

Di peringkat global, beliau menekankan reaksi pasaran terbesar kini bertumpu kepada sektor perkapalan, tenaga, dan pasaran volatiliti, menunjukkan bagaimana konflik politik di peringkat antarabangsa pada awalnya menular melalui saluran logistik dan komoditi.

“Freight kapal tangki minyak meningkat 97.3 peratus, diikuti kenaikan mendadak dalam volatiliti risiko global dan harga tenaga. Corak ini menunjukkan kejutan berpunca daripada risiko bekalan tenaga dan logistik sebelum secara beransur-ansur menjejaskan pasaran kewangan melalui peningkatan volatiliti dan keengganan mengambil risiko,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM11.20, Public Bank dan CIMB masing-masing susut empat sen kepada RM4.75 dan RM7.75, Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM14.32, dan IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM8.86.

Dalam senarai paling aktif, VS Industry meningkat satu sen kepada 30 sen, Top Glove susut satu sen kepada 59.5 sen, manakala TWL, Pharmaniaga dan AirAsia X masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 24.5 sen dan RM1.16.

Saham paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries, meningkat 44 sen kepada RM30.06, Malayan Cement dan United Plantation, masing-masing meningkat 34 sen kepada RM6.49 dan RM32.90, Gas Malaysia, meningkat 14 sen kepada RM5.42 dan Pineapple Resources, meningkat 11 sen kepada 84 sen.

Antara saham paling rugi, Tradeplus Shariah Gold Tracker, turun 14 sen kepada RM6.05, RHB Bank, turun 12 sen kepada RM8.17, Ajinomoto dan PPB Group, masing-masing turun 10 sen kepada RM12.50 dan RM11.30, dan Kein Hing International, turun sembilan sen kepada RM1.16.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 53.32 mata kepada 12,196.10, Indeks FBM Emas merosot 48.51 mata kepada 12,357.32, Indeks FBM ACE merosot 2.13 mata kepada 4,373.67, Indeks FBM 70 naik 3.17 mata kepada 17,035.11, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 15.46 mata kepada 12,145.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 235.21 mata kepada 20,183.05, Indeks Perladangan meningkat 15.44 mata kepada 8,459.63, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit 0.16 mata kepada 175.11, dan Indeks Tenaga susut 0.35 mata kepada 796.75.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan