PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Kukuh Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Positif Serantau

18/03/2026 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan tengah hari ini, selari dengan prestasi positif pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.85 mata atau 0.87 peratus kepada 1,725.84, berbanding paras 1,710.99 ketika ditutup semalam.

Indeks dibuka 2.98 mata lebih tinggi pada 1,713.97 dan bergerak antara 1,713.42 dan 1,726.60 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran kekal positif dengan 530 kaunter meningkat berbanding 394 kaunter menurun. Sebanyak 364 kaunter tidak berubah, 1,446 tidak diniagakan dan 11 kaunter digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.68 bilion unit bernilai RM1.97 bilion.

Dalam satu nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pasaran tempatan terus meningkat susulan pemulihan Wall Street. 

Firma pembrokeran itu turut menjangkakan minat belian akan kembali kepada IJM Corporation Bhd selepas Permodalan Nasional Bhd menolak tawaran Sunway Bhd untuk mengambil alih IJM pada harga RM3.15 sesaham. 

Minat belian dijangka disokong oleh rancangan IJM untuk menyenaraikan perniagaan pembinaan dan lebuh raya dalam tempoh dua tahun akan datang serta nilai perolehan kontrak yang belum dibilkan bernilai sekitar RM9.6 bilion.

Sementara itu, Sunway Healthcare Bhd, yang disenaraikan di Pasaran Utama hari ini dijangka menarik minat pelabur dan berpotensi dimasukkan ke dalam FBM KLCI.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM11.72, Public Bank naik empat sen kepada RM4.90, CIMB naik 10 sen kepada RM7.96, IHH Healthcare naik 43 sen kepada RM9.36, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.20.

Dalam senarai paling aktif, Sunway Healthcare yang mula disenaraikan di Pasaran Utama, meningkat 56 sen kepada RM2.01, Tanco naik tiga sen kepada RM1.39, AirAsia X meningkat 11 sen kepada RM1.31, Zetrix AI menokok setengah sen kepada 79 sen, dan Capital A meningkat dua sen kepada 46 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries masing-masing meningkat 48 sen pada RM30.20, Hong Leong Bank dan Fraser & Neave masing-masing naik 44 sen kepada RM23.24 dan RM31.86. IHH Healthcare melonjak 43 sen kepada RM9.36, dan Sunway meningkat 30 sen kepada RM5.53.

Bagi saham paling rugi, Nestle susut 80 sen kepada RM100.10, United Plantations turun 62 sen pada RM33.38, PPB Group susut 36 sen kepada RM11.04, Allianz Malaysia berkurangan 28 sen kepada RM21.28, dan Petron Malaysia Refining & Marketing susut 18 sen kepada RM4.62.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 109.02 mata kepada 12,438.20, Indeks FBM Emas naik 104.53 mata kepada 12,590.49, Indeks FBM 70 melonjak 160.35 mata kepada 17,267.96, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 74.24 mata kepada 12,260.23, dan Indeks FBM ACE menokok 25.54 mata kepada 4,439.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 249.16 mata kepada 20,886.70, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit 1.54 mata kepada 179.99, manakala Indeks Perladangan menurun 25.93 mata kepada 8,542.55, dan Indeks Tenaga berkurangan 9.14 mata kepada 780.83.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan