PASARAN > BERITA

Ringgit Meningkat Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

19/03/2026 10:13 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, bagaimanapun ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan sentimen global yang bersikap berhati-hati terus memberi kesan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun.

Pada 8 pagi, ringgit merosot kepada 3.9300/9400 berbanding dolar AS daripada 3.9145/9205 ketika ditutup pada Rabu

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit menerima tekanan disebabkan ketidakpastian global yang semakin meningkat terutamanya ketegangan geopolitik dan prospek dasar monetari AS.

“Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell memberitahu bahawa risiko yang berkaitan dengan peperangan di Iran masih tidak menentu, manakala tarif import AS yang baharu dijangka memberi kesan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata kakitangan Fed AS telah menaikkan unjuran inflasi 2026 mereka daripada 2.4 peratus kepada 2.7 peratus, manakala Kadar Dana Fed diunjurkan pada 3.4 peratus, menunjukkan satu penurunan kadar faedah untuk tahun ini.

Mohd Afzanizam berkata harga minyak mentah Brent telah melonjak kepada sekitar AS$111 setong dalam persekitaran konflik yang semakin memucak di Iran, seterusnya menyumbang ketidakstabilan pasaran.

“Kesimpulannya, tahap ketidakpastian ekonomi telah meningkat dan sentimen untuk mengelakkan risiko kemungkinan akan terus menguasai pasaran kewangan.

“Justeru, ringgit mungkin dijangka akan diniagakan dalam julat antara RM3.90 hingga RM3.93 hari ini,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4590/4654 daripada 2.4627/4668 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2128/2260 daripada 5.2290/2370 semalam dan melonjak berbanding euro kepada 4.5046/5160 daripada 4.5166/5235.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan menokok berbanding baht Thailand kepada 11.9729/12.0122 daripada 12.0878/12.1130 ketika ditutup pada Rabu dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.0617/0700 daripada 3.0668/0718 ketika ditutup semalam.

Dalam pada itu, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.0/232.7 daripada 231.0/231.6 sebelumnya dan merosot berbanding peso FIlipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.57/6.59.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan