PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan Susulan Kenaikan Harga Tenaga

21/03/2026 10:40 AM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam kecenderungan meningkat minggu depan susulan konflik di Asia Barat.

Peniaga minyak sawit daripada Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata konflik itu telah mendorong harga tenaga lebih tinggi, sekali gus menyokong sentimen terhadap minyak sawit.

“Perang yang berterusan melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendorong harga minyak lebih tinggi, yang menyokong sentimen minyak sawit di pasaran.

“Dalam hal ini kami melihat harga bergerak dalam julat antara RM4,450 satu tan hingga RM4,680 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sebaliknya, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran dijangka bertukar lemah minggu depan berikutan tempoh dagangan yang lebih singkat susulan sambutan Aidilfitri.

Teh berkata pasaran berkemungkinan menyaksikan aktiviti pengambilan untung, dengan harga bergerak pada paras RM4,100 satu tan hingga RM4,200 satu tan berikutan harga tenaga yang lebih tinggi dan gangguan logistik di Asia Barat, manakala spekulator mungkin memasuki pasaran untuk mengambil kesempatan daripada pergerakan harga.

“Terdapat beberapa gangguan logistik ke Asia Barat berikutan perang yang sedang berlaku, yang mendorong spekulator masuk ke pasaran untuk membuat spekulasi terhadap harga,” katanya.

Mengenai paras stok, beliau berkata Malaysia ketika ini mempunyai inventori minyak sawit yang mencukupi, manakala permintaan masih dijangka daripada pengimport utama seperti China, Pakistan, India, Kesatuan Eropah dan AS.

Pasaran ditutup pada Jumaat, 20 Mac, sempena cuti umum tambahan Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan asas Jumaat hingga Khamis, kontrak April 2026 melonjak RM41 kepada RM4,580 satu tan, Mei 2026 meningkat RM47 kepada RM4,619 satu tan, dan Jun 2026 naik RM39 kepada RM4,611 satu tan.

Kontrak Julai 2026 menokok RM26 kepada RM4,580 satu tan, Ogos 2026 naik RM19 kepada RM4,542 satu tan, manakala September 2026 kekal pada RM4,504 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 448,388 lot daripada 732,935 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 237,306 kontrak pada Khamis daripada 225,355 kontrak pada Jumaat minggu lepas.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan meningkat RM100 kepada RM4,600 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan