KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Ringgit kembali meningkat kepada paras 4.02 berbanding dolar AS semasa akhir dagangan hari ini berikutan rundingan transit tenaga Iran-Oman yang meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0295/0350 berbanding dolar AS daripada 4.0365/0430 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata nilai dolar AS-ringgit kini bergerak pada RM4.0305, dengan ringgit meningkat 0.23 peratus berbanding dolar AS manakala Indeks Dolar AS (DXY) berlegar di bawah paras 100 mata.
“Ringgit dilihat mendapat sedikit kekuatan berbanding dolar AS berikutan terdapat isyarat pembukaan semula Selat Hormuz yang meredakan ketegangan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Agensi berita negara Iran IRNA melaporkan bahawa Iran dan Oman sedang merangka protokol untuk “memantau transit” melalui Selat Hormuz yang bertujuan memudahkan serta memastikan laluan selamat selain menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada kapal yang melaluinya.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan diniagakan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5247/5285 daripada 2.5295/5337 semasa ditutup pada Khamis dan menokok berbanding euro kepada 4.6513/6576 daripada 4.6517/6592 semalam, tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3326/3399 daripada 5.3278/3364 sebelumnya.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1341/1389 daripada 3.1364/1417 semasa ditutup pada Khamis tetapi susut berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.71 daripada 6.66/6.68 semalam.
Unit tempatan turut menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 237.4/237.9 daripada 236.9/237.3 pada Khamis dan berkurangan kepada 12.3585/3841 berbanding baht Thailand daripada 12.3180/3447 sebelum ini.
Mata wang serantau turut lemah berbanding dolar AS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial