Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat dalam persekitaran harga minyak mentah menyusut, kata peniaga.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pasaran mengalami tekanan sejak awal bulan ini berikutan sokongan daripada harga minyak mentah yang semakin menyusut mengalihkan tumpuan semula kepada asas pasaran.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 8.59 peratus kepada US$90.85 setong.
“Peserta pasaran menjangka pengeluaran Malaysia bagi April meningkat manakala eksport berkurangan sekali gus meningkatkan kemungkinan kepada inventori yang tinggi ketika pengeluaran memasuki fasa peningkatan bermusim,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata data eksport bagi 1 hingga 15 April menunjukkan permintaan perlahan. Intertek Testing Services (ITS) pula melaporkan eksport susut kepada 609,868 tan daripada 926,602 tan bagi tempoh 1 hingga 15 Mac manakala AmSpec Agri Malaysia merekodkan penurunan penghantaran kepada 601,401 tan berbanding 921,606 tan sebelumnya.
Pada penutupan dagangan, kontrak Mei 2026 susut RM57 kepada RM4,386 satu tan, Jun 2026 rendah RM54 kepada RM4,422 satu tan dan Julai 2026 merosot RM45 kepada RM4,450 satu tan.
Kontrak Ogos 2026 berkurangan RM38 kepada RM4,457 satu tan, September 2026 susut RM34 kepada RM4,449 satu tan dan Oktober 2026 menyusut RM29 kepada RM4,435 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 91,998 lot berbanding 78,490 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 260,192 kontrak daripada 261,976 kontrak semalam.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan susut RM30 kepada RM4,460 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial