PASARAN > BERITA

Ringgit Dibuka Hampir Mendatar Berbanding Dolar AS

20/04/2026 09:13 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar AS pada Isnin berikutan pelabur mencari perlindungan dalam aset selamat, dengan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu dilihat sebagai antara cara untuk mengekalkan nilai modal.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 3.9520/9600 berbanding dolar AS daripada 3.9505/9545 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent, masing-masing meningkat 7.29 peratus dan 6.07 peratus kepada US$89.96 setong dan US$95.87 setong berikutan situasi di Asia Barat amat tidak menentu.

“Selat Hormuz ditutup semula tidak lama selepas kerajaan Iran mengumumkan pembukaannya pada Sabtu,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.19 peratus kepada 98.282 mata pagi ini.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal rendah hari ini. Masa juga semakin suntuk apabila gencatan senjata selama dua minggu itu dijangka berakhir minggu ini.

“Kebimbangan pada masa ini ialah sama ada gencatan senjata itu boleh dilanjutkan untuk membolehkan lebih banyak rundingan diplomatik dijalankan. Buat masa ini, pasaran dijangka berada dalam sentimen mengelak risiko,” katanya.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.3289/3397 daripada 5.3454/3508 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 4.6412/6506 daripada 4.6588/6635 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4832/4884 daripada 2.4838/4865.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1033/1100 daripada 3.1053/1086 pada Jumaat lepas, menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3096/3418 daripada 12.3084/3274, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 229.9/230.4 daripada 229.8/230.1 dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.60 daripada 6.58/6.59. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan