PASARAN > BERITA

Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama

21/04/2026 07:42 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Ringgit meningkat berbanding dolar AS dan mata wang utama lain semasa mengakhiri dagangan pada Selasa walaupun Indeks Dolar AS mengukuh berikutan pelabur memantau rapi perkembangan semasa dan menjangka hasil rundingan yang sedang dijalankan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9490/9530 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9555 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran mata wang di Asia menunjukkan prestasi bercampur-campur apabila peniaga dan pelabur menunggu hasil akhir rundingan itu.

Setakat ini, beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing menyusut 1.06 peratus dan 0.84 peratus kepada US$88.66 setong dan US$94.68 setong.

“Pasaran menunjukkan keyakinan bahawa penyelesaian mungkin dapat dicapai. Bagaimanapun, situasi semasa kekal tidak menentu, oleh itu risiko masih tinggi buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3323/3377 daripada 5.3412/3466 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6436/6483 daripada 4.6489/6536 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4802/4829 daripada 2.4863/4890.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1043/1077 daripada 3.1077/1111 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2983/3162 daripada 12.3127/3313.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 230.3/230.7 daripada 230.1/230.5 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.60 berbanding 6.58/6.60 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan