PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat Dipacu Pengukuhan Minyak Kacang Soya, Prestasi DCE

22/04/2026 09:57 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus ditutup tinggi pada hari Rabu, disokong oleh prestasi kukuh minyak sayuran berkaitan di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan Bursa Komoditi Dalian (DCE).

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata minyak kacang soya mencatatkan kenaikan kukuh di CBOT, menjejaki kenaikan harga minyak mentah susulan penutupan semula Selat Hormuz.

"Keyakinan terhadap program biodiesel B50 Indonesia yang dijadualkan untuk pelaksanaan pada 1 Julai, 2026 juga menyokong harga komoditi itu di Malaysia yang tinggi semalam dan hari ini," katanya kepada Bernama.

Sathia berkata eksport Malaysia bagaimanapun dijangka merosot pada April, dengan juruukur kargo melaporkan penghantaran yang lebih rendah bagi tempoh 20 hari pertama bulan itu.

Menurut Intertek Testing Services, eksport jatuh kepada 884,273 tan daripada 1,191,962 tan sebelumnya, penurunan sebanyak 307,689 tan atau 25.81 peratus, manakala AmSpec Agri Malaysia menganggarkan penghantaran sebanyak 868,281 tan berbanding 1,166,586 tan, turun 298,305 tan atau 25.57 peratus.

Sementara itu, Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga dijangka mendapat paras sokongan pada RM4,550 setan dan paras rintangan pada RM4,750 setan.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2026 naik RM58 kepada RM4,549 setan, Jun 2026 meningkat RM64 kepada RM4,599 setan dan Julai 2026 melonjak RM69 kepada RM4,628 setan.

Kontrak Ogos 2026 menokok RM76 kepada RM4,640 setan, September 2026 bertambah RM82 kepada RM4,639 setan dan Oktober 2026 melonjak RM82 kepada RM4,628 setan.

Jumlah dagangan merosot kepada 89,195 lot daripada 115,871 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 250,518 kontrak daripada 253,316 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan naik RM40 kepada RM4,590 setan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan