KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, didorong oleh minat pelabur yang berterusan terhadap kaunter berkaitan pusat data terutamanya dalam sektor teknologi dan utiliti, susulan laporan pendapatan kukuh oleh penggiat semikonduktor Amerika Syarikat (AS).
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.81 mata atatu 0.39 peratus kepada 1,724.08 daripada 1,717.27 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras memulakan dagangan dengan meningkat 4.13 mata kepada 1,721.40.
Sentimen pasaran secara keseluruhan negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 179 berbanding 172, manakala 324 kaunter tidak berubah, 2,043 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 166.50 juta unit bernilai RM83.84 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan, dalam persekitaran jangkaan peralihan kepimpinan di Rizab Persekutuan (Fed) AS dengan Kevin Warsh dilihat sebagai pengganti berpotensi kepada Jerome Powell, pandangan beliau bahawa produktiviti dipacu kecerdasan buatan (AI) dapat membantu mengurangkan inflasi mungkin terus menyokong sentimen terhadap saham semikonduktor dan berkaitan AI.
Walaupun terdapat keraguan Presiden AS Donald Trump terhadap cadangan terbaharu Iran, dipercayai tumpuan pelabur beralih kepada pendapatan daripada 'Magnificent Seven' (sekumpulan tujuh saham teknologi dan pertumbuhan AS yang berprestasi tinggi dan berpengaruh) pada Rabu ini yang dijangka menentukan hala tuju Wall Street dalam jangka pendek.
Saham-saham ini termasuk Alphabet Inc, Amazon.com Inc, Microsoft Corporation dan Meta Platforms Inc.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sesetengah pelabur terutamanya dalam saham perbankan, mungkin telah memutuskan untuk meraih keuntungan.
“Bagaimanapun, saham-saham yang ketinggalan ke belakang berkaitan indeks kekal sebagai tumpuan utama dan kami menjangkakan perkara ini akan berterusan. Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,715–1,730 hari ini," katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.14, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.75, CIMB menambah sembilan sen kepada RM7.74, manaka Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM14.56 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.77.
Bagi saham paling aktif, Luster Industries dan SMRT Holding melonjak setengah sen masing-masing kepada 4.5 sen dan 17.5 sen, UEM Sunrise menokok satu sen kepada 60 sen, bagaimanapun VS Industry berkurangan 0.5 sen kepada 22 sen dan Nationgate turun satu sen kepada 78 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Hong Leong Bank menambah 26 sen kepada RM22.60, Vstecs, KESM dan United Plantation naik 18 sen masing-masing kepada RM5.24, RM3.91 dan RM31.80, manakala Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM18.20.
Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries merosot 34 sen kepada RM37.54, MI Technovation susut sembilan sen kepada RM3.43, Kelington Group menguncup tujuh sen kepada RM6.31, PGF dan Rapid Synergy Capital berkurangan enam sen masing-masing kepada RM1.64 dan 71 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 37.22 mata kepada 12,753.35, Indeks FBMT 100 naik 37.93 mata kepada 12,587.32, Indeks FBM Emas Syariah menambah 24.99 mata kepada 12,685.08 dan Indeks FBM 70 melonjak 4.18 mata kepada 18,173.26, bagaimanapun Indeks FBM ACE susut 3.12 mata kepada 4,654.90.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 112.17 mata kepada 20,089.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.14 mata kepada 195.05, Indeks Tenaga bertambah 3.25 mata kepada 834.86, manakala Indeks Perladangan menokok 32.60 mata kepada 8,867.17.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial