PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Terus Naik Susulan Dolar AS Yang Lemah, Hasil Perbendaharaan AS Susut

07/05/2026 08:16 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikan, ditutup lebih tinggi pada Khamis, apabila sentimen pasaran mengukuh susulan penurunan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan dolar AS yang lebih lemah. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penurunan hasil Perbendaharaan AS telah mengurangkan tekanan ke atas jongkong emas, selepas pasaran kekal berhati-hati di tengah-tengah harga tenaga yang lebih tinggi, yang boleh memaksa Rizab Persekutuan AS mengekalkan pendirian kadar faedah yang lebih agresif untuk tempoh yang lebih lama. 

“Dolar AS yang lebih lemah telah menambah sokongan selanjutnya untuk emas dengan meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur antarabangsa,” katanya kepada Bernama. 

Innes berkata satu lagi perubahan penting yang menyokong logam berharga itu ialah pengurangan kebimbangan bahawa bank pusat pasaran baharu muncul mungkin perlu mencairkan sebahagian daripada rizab emas mereka ketika senario kejutan minyak. 

Beliau berkata pada kemuncak ketegangan global, terdapat peningkatan kebimbangan bahawa sesetengah ekonomi baharu muncul mungkin menghadapi tekanan untuk menjual rizab emas bagi membiayai kos import tenaga yang meningkat dan menstabilkan mata wang tempatan yang semakin lemah. 

“Ketika harga minyak menyusut dan kebimbangan mengenai kejutan bekalan yang berpanjangan menjadi sederhana, kebimbangan itu telah berkurangan dengan ketara, sekali gus menghapuskan satu lagi lapisan tekanan daripada pasaran emas dan membantu memacu lantunan terkini harga jongkong emas,” katanya. 

Pada penutup, kontrak semerta bulan Mei 2026 meningkat kepada US$4,762.30 setiap auns troy daripada US$4,726.70 pada Rabu, manakala kontrak Jun 2026 mengukuh kepada US$4,776.30 setiap auns troy daripada US$4,740.70.

Kontrak Julai, Ogos dan Oktober turut ditutup lebih tinggi pada US$4,791.30 setiap auns troy, berbanding US$4,755.70 sebelumnya. 

Jumlah dagangan berkurang kepada tiga lot daripada 15 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 64 kontrak berbanding 80 kontrak sebelumnya. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,706.90 setiap auns troy oleh London Bullion Market Association pada 6 Mei 2026. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan