KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti pada minggu lalu selepas tiga minggu berturut-turut mencatat jualan bersih, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM95.2 juta berbanding aliran keluar bersih RM160.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Ini menjadikan jumlah aliran masuk bersih setakat ini pada 2026 meningkat kepada RM3.1 bilion (2025: aliran keluar bersih RM22.6 bilion), menurut firma broker saham itu dalam laporan aliran dananya pada minggu berakhir 8 Mei 2026.
“Belian bersih terbesar pelabur asing tertumpu kepada sektor teknologi (RM119.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM117.7 juta) dan perindustrian (RM67.2 juta).
“Jualan bersih tertumpu kepada sektor pengguna (RM68.5 juta), utiliti (RM50.6 juta) dan pembinaan (RM47.9 juta),” katanya.
Mengenai pelabur institusi tempatan, CIMB Securities memaklumkan mereka kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat, walaupun aliran masuk bersih meningkat mendadak minggu ke minggu kepada RM99.6 juta, mengurangkan kedudukan jualan bersih mereka kepada RM2.0 bilion (2025: aliran masuk bersih RM19.4 bilion).
Menurutnya, pelabur runcit tempatan menjadi penjual bersih terbesar sebanyak RM301 juta, beralih daripada belian bersih sebanyak RM167.1 juta pada minggu sebelumnya dan meningkatkan aliran keluar bersih mereka kepada RM1.8 bilion (2025: aliran masuk bersih RM3.1 bilion).
Pelabur proprietari menjadi pembeli bersih sebanyak RM106.2 juta selepas jualan bersih RM16.4 juta pada minggu sebelumnya, meningkatkan aliran masuk bersih mereka kepada RM664.6 juta.
“Pelabur institusi tempatan mencatatkan belian bersih terbesar mereka dalam sektor utiliti (RM276.7 juta), pembinaan (RM86 juta) dan hartanah (RM32.9 juta) manakala jualan bersih terbesar mereka dilihat dalam sektor produk perindustrian (RM96 juta), kewangan (RM54 juta) dan perladangan (RM40.4 juta).
“Pelabur runcit tempatan merupakan penjual bersih terbesar dalam sektor utiliti (RM244.7 juta) dan teknologi (RM98.4 juta) manakala belian bersih terbesar mereka adalah dalam sektor pengguna (RM94.1 juta) dan penjagaan kesihatan (RM28.6 juta),” katanya.
Sementara itu, belian bersih terbesar pelabur proprietari adalah dalam sektor telekomunikasi (RM38.5 juta) dan kewangan (RM26 juta), menurut CIMB Securities.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial