BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Susut Sedikit Susulan Prestasi Saham Perbankan

14/05/2026 06:26 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatat penyusutan kecil pada akhir dagangan Khamis, diheret turun oleh prestasi saham-saham perbankan susulan tindakan pelabur mengambil untung masing-masing berikutan peningkatan sebelum ini.

Keadaan itu berlaku di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang merentasi pasaran serantau berikutan kesukaran mendapatkan petunjuk lebih jelas daripada rundingan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping di Beijing hari ini.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.73 mata kepada 1,745.58 daripada paras penutup 1,746.31, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.79 mata kepada 1,749.10 dan bergerak dalam julat 1,740.35 hingga 1,750.59 pada sesi dagangan hari ini.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 599 berbanding 558, sebanyak 612 kaunter tidak berubah, 958 tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.91 bilion unit bernilai RM3.22 bilion berbanding 4.14 bilion unit bernilai RM3.44 bilion, semalam.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kedudukan pasaran merentasi Asia kebanyakannya bersifat defensif atau bertahan apabila pelabur mengelak daripada sebarang kedudukan agresif yang cenderung risiko.

Ini berikutan mereka masih menunggu isyarat jelas mengenai hala tuju perdagangan AS-China serta landskap geopolitik lebih meluas.

Di sebalik sentimen lebih menyederhana itu, Mohd Sedek berkata penyusutan dalam pasaran tempatan secara relatifnya teratur, sekali gus memaparkan asas-asas keyakinan dalam daya tahan makroekonomi domestik Malaysia.

“Ini juga menunjukkan keadaan suram semasa masih dianggap sebagai bersifat konsolidasi jangka terdekat berbanding kemerosotan dalam trend pasaran secara meluas,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut pada RM11.18, Public Bank turun lima sen kepada RM4.83, Tenaga Nasional rugi 24 sen kepada RM14.48, CIMB merosot dua sen kepada RM7.90 manakala IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM9.02.

Bagi saham paling aktif, Nationgate meraih lapan sen kepada 87 sen, Zetrix AI dan GIIB masing-masing naik satu sen kepada 84.5 sen dan 28 sen, EG Industries meningkat 20 sen kepada RM1.49 dan Astro kekal pada 5.5 sen.

Kaunter paling untung didahului Nestle yang melonjak RM2.76 melonjak RM2.76 kepada RM102.40, Kelington meraih 58 sen kepada RM7.30, Allianz meningkat 52 sen kepada RM21.64 dan VSTecs naik 49 sen kepada RM5.96.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Fraser & Neave susut 16 sen kepada RM29.00, United Plantations merosot 14 sen kepada RM29.98 manakala Pentamaster dan Time Dotcom masing-masing turun 12 sen kepada RM4.38 dan RM6.24.

Di papan indeks pula Indeks FBM Emas susut 3.35 mata kepada 12,932.89, Indeks FBMT 100 turun 6.06 mata kepada 12,768.14 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 11.89 mata kepada 18,536.91.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 27.63 mata kepada 12,895.68 dan Indeks FBM ACE naik 30.88 mata kepada 4,783.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 50.99 mata kepada 20,251.06, Indeks Perladangan susut 47.41 mata kepada 8,671.84, Indeks Tenaga turun 6.16 mata kepada 799.78 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 1.53 mata kepada 201.26.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 2.06 bilion unit bernilai RM2.81 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM3.07 bilion, semalam.

Dagangan waran meningkat kepada 1.28 bilion unit bernilai RM190.20 juta berbanding 1.18 bilion unit bernilai RM152.42 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 565.81 juta unit bernilai RM213.06 juta daripada 638.74 juta unit bernilai RM217.64 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.30 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (634.90 juta), pembinaan (168.44 juta), teknologi (395.46 juta), perkhidmatan kewangan (60.71 juta), hartanah (193.51 juta), perladangan (26.76 juta), amanah pelaburan hartanah (21.13 juta), dana tertutup (90,800), tenaga (77.32 juta), penjagaan kesihatan (95.26 juta), telekomunikasi dan media (88.30 juta), pengangkutan dan logistik (40.40 juta), utiliti (51.53 juta), dan amanah perniagaan (57,800).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan