PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah, Jejaki Sentimen Lemah Serantau

15/05/2026 07:05 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, seiring dengan sentimen pasaran serantay yang lemah berikutan pelabur mengambil pendirian berhati-hati dalam persekitaran kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak global dan potensi limpahan inflasi merentasi ekonomi utama.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 5.36 mata atau 0.30 peratus kepada 1,740.34 daripada 1,745.58 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.11 mata lebih tinggi kepada 1,747.69 sebelum bergerak antara 1,735.51 hingga 1,748.85 sepanjang dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 814 berbanding 427, manakala 581 kaunter tidak berubah, 906 kaunter tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.92 bilion unit bernilai RM3.46 bilion daripada 3.91 bilion unit bernilai RM3.22 bilion pada Khamis.

 Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat hampir tujuh peratus minggu ini di tengah-tengah akibat tiada perkembangan positif terbaharu dalam pembukaan semula Selat Hormuz, walaupun harga kekal di bawah paras ambang utama AS$110 setong.

Beliau berkata sentimen selanjutnya dipengaruhi oleh komen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa China sedang berusaha untuk membeli lebih banyak minyak AS, mengukuhkan jangkaan keadaan pasaran tenaga jangka pendek yang lebih ketat.

“Di peringkat tempatan, tekanan jualan tertumpu pada kaunter berkaitan petroleum apabila pelabur menilai semula tinjauan margin dan impak lebih luas daripada harga tenaga yang tinggi terhadap jangkaan inflasi dan kos operasi,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sikap optimis pelabur terhadap saham teknologi berubah di sebalik kebimbangan inflasi yang semakin meningkat, mendorong hasil Perbendaharaan AS ke paras tertinggi bagi tempoh setahun dan meningkatkan jangkaan bahawa kenaikan kadar akan berlaku lagi tahun ini.

“Bagi Bursa Malaysia, kami mengekalkan pendirian berhati-hati, memandangkan ketidaktentuan dan ketidakpastian yang meningkat berkaitan kadar faedah global, perkembangan geopolitik dan keadaan pasaran luaran.

“Penurunan FBM KLCI baru-baru ini mencerminkan selera risiko yang lebih lemah, walaupun ketiadaan jualan agresif menunjukkan bahawa sokongan asas dalam pasaran masih agak kukuh,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun lapan sen kepada RM11.10 dan CIMB merosot dua sen kepada RM7.88, manakala Public Bank menambah lapan sen kepada RM4.91, Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM14.54 dan IHH Healthcare melonjak dua sen kepada RM9.04. 

Bagi saham paling aktif, AirAsia X berkurangan tujuh sen kepada RM1.15, Top Glove merosot lima sen kepada 78 sen dan Genetec turun sentengah sen kepada 32.5 sen, manakala IRIS menambah 9.5 sen kepada 27.5 sen dan GIIB meningkat satu sen kepada 29 sen.

Kaunter paling untung, MKH melonjak 33 sen kepada RM1.46, Fraser & Neave meningkat 30 sen kepada RM29.0, United Plantations menokok 28 sen kepada RM30.26 dan Lianson menokok 23 sen kepada RM1.78. 

Antara kaunter paling rugi ialah Nestle turun RM2.20 kepadda RM100.20, Petronas Dagangan berkurangan RM1.08 kepada RM20.30, Kuala Lumpur Kepong merosot 56 sen kepada RM20.32 dan Hong Leong Industries menguncup 46 sen kepada RM18.34.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 38.02 mata kepada 12,894.87, Indeks FBM Top 100 berkurangan 34.83 mata kepada 12,733.31, Indeks FBM Mid 70 merosot 31.90 mata kepada 18,505.01, Indeks FBM Emas Syariah susut 72.83 mata kepada 12,822.85 dan Indeks FBM ACE berkurangan 40.33 mata kepada 4,742.74.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 86.41 mata kepada 8,585.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1,31 mata kepada 199.95, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 3.25 mata kepada 20,253.31,Indeks Tenaga meningkat 9.11 mata kepada 808.89. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.90 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM2.81 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut 1.26 bilion unit bernilai RM176.50 juta berbanding 1.28 bilion unit bernilai RM190.20 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 746.94 juta unit bernilai RM216.80 juta daripada 565.81 juta unit bernilai RM213.06 juta minggu lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 287.41 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (428.31 juta), pembinaan (154.04 juta), teknologi (299.32 juta), perkhidmatan kewangan (70.02 juta), hartanah (195.26 juta), perladangan (45.17 juta), amanah pelaburan hartanah (20.49 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (115.69 juta), penjagaan kesihatan (141.91 juta), telekomunikasi dan media (42.15 juta), pengangkutan dan logistik (38.06 juta), utiliti (61.79 juta) dan amanah perniagaan (13,500).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan