Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, disebabkan sentimen berhati-hati menguasai pasaran pertukaran mata wang asing.
Ini menyusul ekoran data ekonomi China yang lebih lemah dan di sebalik kebimbangan menjelang pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Federal (FOMC) pada Rabu.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berkurangan kepada 3.9720/9770 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9580 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi di China menjadi tumpuan utama susulan pelaburan aset tetapnya menyusut 1.6 peratus dalam tempoh empat bulan pertama pada 2026 berbanding anggaran konsensus bagi pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus.
"Selain itu, jualan runcit berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 0.2 peratus (tahun ke tahun) sepanjang April selepas mencatatkan pertumbuhan 1.7 peratus pada bulan sebelumnya, manakala pertumbuhan pengeluaran perindustrian menyederhana kepada 4.1 peratus daripada 5.7 peratus sebelum ini.
"Justeru, angka bagi April menunjukkan ekonomi China sedang bergerak perlahan di tengah-tengah kejutan bekalan dalam sektor minyak dan gas disebabkan perang di Iran yang meletus pada 28 Februari tahun ini. Oleh yang demikian, sentimen pasaran adalah berhati-hati sepanjang hari," katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.3078/3145 daripada 5.3094/3135 ketika ditutup pada Jumaat, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.4991/5024 daripada 2.4886/4907 minggu lepas dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6214/6272 dariipada 4.6009/6044 sebelumnya.
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1036/1078 daripada 3.0867/0893 pada Jumaat, susut berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.45 daripada 6.37/6.38 sebelumnya, menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.1646/1848 daripada 12.1506/1652 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 224.8/225.1 daripada 224.1/224.4 sebelum itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial