PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

19/05/2026 10:19 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi berikutan jangkaan pengeluaran yang lebih lemah dalam beberapa minggu akan datang, kata peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng.

“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,500 dan rintangan rintangan pada RM4,680,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memaklumkan bahawa harga MSM dijangka kekal sekitar RM4,400 setan pada Jun 2026, disokong oleh dasar biobahan api global.

Perkembangan terkini dalam dasar biobahan api Amerika Syarikat telah meningkatkan daya saing harga minyak sawit merentasi pasaran utama, menurut MPOC.

MPOC memaklumkan bahawa minyak sawit kekal sebagai minyak sayuran dengan harga paling kompetitif di India, manakala harga olein sawit di Malaysia juga diniagakan pada diskaun marginal kepada minyak kacang soya Argentina, keadaan harga yang dijangka akan terus mengekalkan momentum permintaan.

Sementara itu, Pengarang Urusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata harga MSM Malaysia dinaikkan disebabkan spekulasi mengenai potensi kawalan eksport Indonesia, walaupun pasaran Indonesia lemah berikutan kebimbangan pengawasan komoditi yang lebih ketat.

Dilaporkan bahawa ia adalah respons para peniaga terhadap laporan bahawa Jakarta mungkin memusatkan eksport komoditi utama, termasuk arang batu, minyak sawit mentah dan mineral, melalui agensi yang dicadangkan bertujuan untuk mengurus aliran modal dan menstabilkan rupiah.

Peranan dominan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia bermakna sebarang perubahan pada aliran eksport boleh memberi implikasi lebih luas terhadap harga, kestabilan mata wang dan rizab pertukaran asing.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 dan Julai 2026 naik RM49 masing-masing kepada RM4,540 satu tan dan RM4,571 setan, Ogos 2026 meningkat RM51 kepada RM4,585 satu tan

Kontrak September 2026 dan October 2026 menambah RM47 masing-masing kepada RM4,589 satu tan dan RM4,596 setan, manakala November 2026 melonjak RM48 kepada RM4,609 satu tan.

Jumlah dagangan naik kepada 121,452 lot daripada 87,585 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 284,125 kontrak daripada 283,019 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan menokok RM50 kepada RM4,580 setan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan