PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Cenderung Diniagakan Lebih Rendah Minggu Depan

23/05/2026 10:10 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pasaran getah dijangka diniagakan dengan kecenderungan lebih rendah minggu depan dipacu oleh bekalan getah baharu susulan berakhirnya tempoh musim sejuk, kata pakar industri Denis Low.

Low berkata taburan hujan berlaku secara berterusan, namun tidak terlalu lebat sehingga menjejaskan aktiviti menoreh.

“Terdapat lambakan bekalan yang memanfaatkan paras harga tinggi semasa dan terus dipacu oleh aktiviti spekulatif dalam kalangan pengusaha serta peniaga.

“Pasaran sedang menunjukkan reaksi rintangan (menolak kenaikan harga) dan mereka sewajarnya berhati-hati. Terdapat juga bekalan getah sintetik yang mencukupi,” katanya kepada Bernama.

Senada dengan Low, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan pasaran diunjurkan untuk diniagakan dalam jajaran kecil.

Menurut persatuan itu, musim monsun dijangka reda yang sepatutnya dapat menambah baik bekalan getah mentah.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 9.5 sen kepada 889 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut 10.5 sen kepada 765 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan