PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

09/06/2026 10:59 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa, dipengaruhi oleh kelemahan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata permintaan eksport yang lemah kebelakangan ini turut menjejaskan sentimen pasaran.

Beliau berkata eksport minyak sawit menyusut pada Mei, dengan juruukur kargo AmSpec Agri Malaysia melaporkan eksport jatuh 15.45 peratus kepada 1.14 juta tan sepanjang tempoh 1 hingga 31 Mei, berbanding 1.35 juta tan bagi tempoh 1 hingga 30 April, 2026.

Sementara itu, Intertek Testing Services (ITS) merekodkan penurunan sebanyak 8.81 peratus kepada 1.28 juta tan daripada 1.40 juta tan sebelumnya.

“Kami mendapati harga pada paras sokongan melebihi RM4,480 satu tan dan paras rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pendapat yang sama, Pengarang Urusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM ditutup dalam keadaan negatif, sekali gus menghapuskan kenaikan kecil yang dicatatkan pada hari sebelumnya susulan tekanan jualan daripada penurunan minyak sayuran berkaitan.

Beliau juga berkata para peniaga keluar daripada pasaran menjelang pengumuman data penting oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk Mei yang dijadualkan esok.

“Peserta pasaran juga menantikan anggaran eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 10 Jun, yang akan dikeluarkan oleh juruukur kargo setiap lima hari sepanjang bulan ini,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 susut RM51 kepada RM4,454 satu tan, kontrak Julai 2026 merosot RM45 kepada RM4,494 satu tan manakala kontrak Ogos 2026 turun RM47 kepada RM4,528 satu tan.

Kontrak September 2026 turun RM41 kepada RM4,566 satu tan, kontrak Oktober 2026 susut RM35 kepada RM4,603 satu tan dan kontrak November 2026 berkurangan RM34 kepada RM4,637 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 92,341 lot daripada 51,506 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka susut kepada 287,862 kontrak daripada 290,490 kontrak sebelumnya.

Sementara itu, harga MSM fizikal untuk Selatan Jun meningkat RM20 kepada RM4,500 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan