KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tinggi pada separuh kedua 2026, disokong kemungkinan fenomena El Nino yang kuat serta peningkatan harga minyak soya dan biji sesawi susulan lonjakan permintaan terhadap biobahan api, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Dalam satu nota hari ini, firma pembrokeran itu berkata data daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menunjukkan kebarangkalian 80 hingga 90 peratus berlakunya fenomena El Niño antara Jun 2026 dan Februari 2027 dilihat sebagai faktor positif kepada harga MSM.
“Berdasarkan trend, hasil tandan buah segar (BTS) Malaysia lazimnya merosot antara 13 hingga 16 peratus tahun ke tahun ketika fenomena El Niño yang kuat, manakala harga MSM meningkat antara 22 hingga 23 peratus tahun ke tahun,” katanya.
CGS International menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan terus menyusut pada Jun 2026 berbanding bulan sebelumnya, berikutan ketersediaan eksport yang lebih terhad dari Indonesia dijangka memberi manfaat kepada eksport Malaysia.
“Selain itu, peningkatan penggunaan domestik di bawah program biodiesel B12 juga dijangka terus menyumbang kepada pengurangan inventori,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan “wajaran tinggi” terhadap sektor perladangan, sambil menambah bahawa pengeluar Malaysia berkemungkinan mendapat manfaat yang lebih besar berbanding rakan setara di Indonesia daripada kenaikan harga MSM, disokong oleh eksport yang lebih kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan dasar di negara itu.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran harga MSM 2026 pada RM4,350 setiap tan dan menjangkakan harga kekal tinggi sekitar RM4,500 hingga RM4,600 setiap tan pada suku kedua 2026 sebelum mula sederhana dari suku ketiga dan seterusnya.
“Unjuran harga MSM jangka panjang kami juga tidak berubah pada RM4,200 satu tan metrik mulai 2027,” katanya.
Bank pelaburan itu turut mengekalkan pandangan “wajaran tinggi” terhadap sektor berkenaan sementara menunggu penilaian semula dalam prospek separuh kedua 2026 yang akan diterbitkan kelak.
Katanya meskipun harga minyak mentah yang tinggi dijangka terus menyokong harga MSM dalam tempoh terdekat, ia berpandangan kitaran kenaikan semasa mungkin berlaku lebih awal, dengan risiko jangka sederhana berpunca daripada pelarasan bekalan minyak sayuran pesaing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial