PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari

15/06/2026 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dalam wilayah positif, seiring kenaikan pasaran serantau Asia dan menjejaki prestasi kukuh Wall Street semalaman.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.91 mata atau 0.58 peratus kepada 1,693.54 berbanding paras 1,683.63 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 6.76 mata lebih tinggi pada 1,690.39 dan bergerak antara 1,690.39 hingga 1,697.48 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 681 berbanding 420, manakala 447 kaunter tidak berubah, 1,149 tidak diniagakan dan 36 digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencecah 3.04 bilion saham bernilai RM1.79 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi, disokong oleh penampilan pertama kukuh SpaceX selain potensi perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

“Dengan jangkaan sebahagian aliran dana akan beralih ke Hong Kong berikutan faktor SpaceX, kami percaya aktiviti dagangan di rantau ini akan kekal sederhana. Oleh itu, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,690 hari ini,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 1.01 peratus kepada 5,076.59, Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 0.45 peratus kepada 24,829.62, Indeks Kospi Korea Selatan melonjak 5.60 peratus kepada 8,578.62 manakala Indeks Nikkei Jepun meningkat 5.03 peratus kepada 69,349.27.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 16 sen kepada RM10.88, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.89, Tenaga Nasional menambah 18 sen kepada RM14.60 dan CIMB naik 22 sen kepada RM7.61.

Bagi saham aktif, Hong Seng dan Top Glove masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 80.5 sen. Tanco susut 6.5 sen kepada 13.5 sen, Pentech menambah 6.5 sen kepada 26.5 sen manakala Zetrix AI merosot setengah sen kepada 80.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries naik RM1.44 kepada RM48.94, UMS menambah 58 sen kepada RM8.60, SAM Engineering meningkat 55 sen kepada RM4.90 dan Batu Kawan mengukuh 50 sen kepada RM20.80.

Bagi kaunter rugi utama, Paragon susut 98 sen kepada RM2.29, Nestle turun 76 sen kepada RM94.84, Press Metal berkurangan 50 sen kepada RM8.47 dan Petronas Chemicals merosot 40 sen kepada RM4.94.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 94.39 mata kepada 12,569.01, Indeks FBMT 100 naik 89.90 mata kepada 12,405.85, Indeks FBM ACE menambah 77.98 mata kepada 4,746.65 dan Indeks FBM 70 Sederhana mengukuh 205.39 mata kepada 18,089.54, manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 52.88 mata kepada 12,475.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 248.01 mata kepada 19,892.37 dan Indeks Perladangan meningkat 2.75 mata kepada 8,754.83.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.74 mata kepada 192.19 manakala Indeks Tenaga turun 10.50 mata kepada 764.87.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan