Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada akhir dagangan Isnin, didorong oleh harga minyak yang lebih rendah, kata penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen itu turut disokong oleh penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat serta kelemahan nilai mata wang negara maju itu yang hanya melonjakkan lagi daya tarikan emas.
Beliau berkata pada awalnya peningkatan emas dianggap bercanggah dengan jangkaan berikutan sebarang prospek perjanjian damai di Asia Barat lazimnya mengurangkan daya tarikan logam berharga itu sebagai aset selamat.
Namun, pasaran sebaliknya lebih dipengaruhi oleh kesan penurunan harga minyak terhadap jangkaan inflasi, hasil bon serta dolar AS.
“Prospek perjanjian damai Asia Barat sepatutnya mengurangkan risiko geopolitik. Namun, kesan (pengaruh) lebih kuat itu adalah daripada faktor minyak, hasil bon dan dolar,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir urus niaga, kontrak bulan semasa Jun 2026 naik ke paras US$4,348.40 setiap auns troy daripada US$4,232.70 Jumaat lepas manakala Julai 2026 menokok kepada US$4,360.40 setiap auns troy daripada US$4,249.30 dan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,381.60 setiap auns troy daripada US$4,265.70.
Kontrak September 2026 mencatat US$4,386.10 setiap auns troy manakala Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing pada US$4,405.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 17 lot daripada 22 lot pada Jumaat lepas dan kepentingan terbuka menguncup kepada 84 kontrak daripada 89 kontrak sebelumnya.
Selain itu, emas fizikal berada pada US$4,185.95 setiap auns troy sewaktu penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 12 Jun, 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial