Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini selepas harga minyak mula menurun, seterusnya meredakan kebimbangan inflasi dan merangsang sentimen yang lebih baik terhadap logam berharga itu.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata emas mendapat manfaat daripada penurunan harga minyak mentah selepas risiko geopolitik di Asia Barat mula berkurangan, ini meminimumkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
"Emas meningkat memandangkan kejatuhan harga minyak telah menghapuskan halangan makro utama yang berada di hadapan dagangan," katanya kepada Bernama.
Innes berkata penunjuk harga dalam pasaran minyak mentah Dubai memperlihatkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan di rantau Teluk sudah semakin reda, menandakan ketersediaan minyak bertambah baik dan ini melemahkan tekanan menaik ke atas harga.
"Ianya agak penting bagi emas berikutan harga minyak mentah yang rendah akan mengurangkan tekanan inflasi, menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) kekurangan alasan untuk mengekalkan pendirian agresif, meredakan tekanan ke atas hasil sebenar dan melemahkan dolar US.
"Ini sebenarnya bukan bidaan krisis klasik. Emas sedang mengumpulkan kekuatan kerana kejutan minyak semakin pudar, Fed kelihatan kurang mengancam dan logam itu sedang menyambung semula sama dengan corak sejarah yang berkadar lebih rendah, dolar yang lebih lemah dan harga emas yang lebih tinggi," katanya.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Jun 2026 meningkat kepada US$4,351.30 setiap auns troy daripada US$4,348.40 yang dicatatkan pada Isnin, manakala kontrak Julai 2026 menokok kepada US$4,363.30 setiap auns troy daripada US$4,360.40. Kontrak Ogos 2026 naik kepada US$4,383.20 setiap auns troy daripada US$4,381.60.
Kontrak September 2026 ialah US$4,387.70 setiap auns troy manakala Oktober 2026 dan Disember 2026 ditambat pada US$4,406.80 setiap auns troy,
Jumlah dagangan berkurangan kepada empat lot berbanding 17 yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka turun kepada 67 kontrak daripada 84.
Sementara itu, pada penetapan tengah hari 15 Jun 2026 di London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,355.20 setiap auns troy,
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial