Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal tidak menentu minggu depan apabila pelabur menunggu pengumuman indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi teras (PCE teras) bagi petunjuk mengenai trajektori kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Rizab Persekutuan kini dilihat lebih mudah suai dan semakin sensitif terhadap data inflasi yang akan datang, setiap edaran ekonomi utama adalah penting, tetapi PCE teras akan menjadi peristiwa utama bagi pasaran emas dan kadar faedah.
“Minggu depan akan sangat bergantung kepada data,” katanya kepada Bernama.
Innes juga berkata bacaan inflasi yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh meningkatkan dolar AS, mendorong hasil yang lebih tinggi dan meningkatkan risiko emas menguji pada paras US$4,000 setiap auns troy.
“Bagaimanapun, saya tidak akan melihat langkah ke arah US$4,000 sebagai berakhirnya kisah mengenai emas.
“Ia boleh menjadi titik masuk yang menarik kepada pelabur Asia, terutamanya jika mata wang domestik menjadi lemah, selain dolar AS yang lebih kukuh,” katanya.
Innes menambah bahawa pelabur emas harus bersedia untuk berdepan dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat dan kemungkinan penurunan selanjutnya sebelum pembeli jangka sederhana kembali ke pasaran.
Bagi asas minggu ke minggu, kontrak semerta bulan Jun 2026 susut kepada US$4,170.80 setiap auns troy daripada US$4,232.70 setiap auns troy ketika ditutup pada Jumaat lepas; Julai 2026 berkurang kepada US$4,184.90 setiap auns troy daripada US$4,249.30 setiap auns troy minggu lepas, dan Ogos 2026 merosot kepada US$4,205.50 setiap auns troy daripada US$4,265.70 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak September 2026 turun kepada US$4,210.00 setiap auns troy daripada US$4,270.20 setiap auns troy, dan Oktober 2026 berkurang kepada US$4,229.10 setiap auns troy daripada US$4,289.30 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 47 lot daripada 107 lot, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 87 kontrak daripada 89 kontrak seminggu sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$4,236.15 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 18 Jun 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial