PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

22/06/2026 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada Isnin disebabkan minat belian berkurangan memandangkan pelabur kekal berhati-hati terhadap rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.21 peratus atau 3.67 mata kepada 1,708.36 daripada 1,712.03 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama itu dibuka 1.56 mata lebih rendah kepada 1,710.47 sebelum bergerak di antara 1,706.61 dengan 1,712.32 sepanjang sesi pagi.

Jumlah dagangan sebanyak 1.84 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 415, manakala 552 kaunter tidak berubah, 1,245 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) memaklumkan bahawa indeks penanda aras dijangka kekal dalam jajaran kecil dalam persekitaran turun naik yang didorong oleh tajuk berita utama, memandangkan pasaran menjejaki rundingan damai AS-Iran di Switzerland selain daripada penilaian semula pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih agresif.

Ketidakpastian berterusan mengenai kemerosotan ekonomi akibat konflik selama berbulan-bulan juga dijangka akan mengekalkan selera risiko yang rendah, menurut HLIB dalam satu nota penyelidikan.

“Di peringkat tempatan, sentimen kekal berhati-hati, dipengatuhi oleh ringgit yang lebih lemah, peningkatan premium risiko politik menjelang pilihan raya negeri di Johor (11 Julai) dan Negeri Sembilan (1 Ogos) serta spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan lebih awal.

“Secara kolektif, cabaran ini diunjurkan ini akan mengehadkan kenaikan berhampiran tahap rintangan 1,732,” menurut kenyataan itu.

Antara saham wajaran tinggi, PPB Group susut 48 sen kepada RM9.64, Petronas Chemicals Group berkurangan sembilan sen kepada RM4.40, IOI Corporation merosot tujuh sen kepada RM4.26, IOI Properties Group menguncup empat sen kepada RM4.11 dan Press Metal Aluminium (PMetal) turun lapan sen kepada RM8.45. 

Bagi saham aktif, Tanco susut satu sen kepada 13 sen, Dagang Nexchange dan SKP Resources menambah setengah sen masing-masing kepada  47 sen dan 28.5 sen, Zetrix AI naik 1.5 sen kepada 79.5 sen dan GIIB merosot empat sen kepada 42.5 sen. 

Sementara itu, Ajinomoto (Malaysia) Bhd (AJI) dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa saham AJI akan didagangkan semula pada jam 9 pagi esok, 23 Jun, 2026, selepas Bursa Malaysia meluluskan permintaan penggantungannya dari jam 9 pagi hingga 5 petang hari ini, 22 Jun, 2026.

Kaunter paling untung menyaksikan Skyechip naik 23 sen kepada RM3.32, Dutchlady Milk Industries (DLady) meningkat 20 sen kepada RM32.70, TMK Chemical melonjak 14 sen kepada RM2.68, Batu Kawan menambah 12 sen kepada RM20.80 dan MNRB naik 11 sen kepada RM2.69.

Antara kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut RM1.02 kepada RM48.88, Nestle berkurangan 68 sen kepada RM95.54, United Plantations dan PPB Group merosot 48 sen masing-masing kepada RM32.18 dan RM9.64 dan Allianz Malaysia menguncup 42 sen kepada RM21.18.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 35.28 mata kepada 12,645.77, Indeks FBM Top 100 merosot 35.89 mata kepada 12,483.73, Indeks FBM Emas Shariah susut 38.65 mata kepada 12,520.01, Indeks FBM 70 turun 90.57 mata kepada 18,072.01, Indeks FBM ACE menguncup 10.45 mata kepada 4,782.07.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 28.05 mata kepada 8,901.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 90.80 mata kepada 20,113.78, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.06 mata kepada 190.51 dan Indeks Tenaga menguncup 3.71 mata kepada 762.56.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan