Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Rabu berikutan harga minyak mentah menyusut dan prestasi bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah di Singapura mencatatkan kenaikan manakala niaga hadapan getah di Bursa Shanghai menyusut.
"Harga minyak mentah meneruskan penurunan untuk sesi ketiga berturut-turut berikutan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang lebih baik serta pemulihan pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz yang meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan tenaga," katanya kepada Bernama.
Setakat ini, minyak mentah Brent menyusut sebanyak 1.96 peratus kepada US$75.57 setong.
Sementara itu, niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam jajaran kecil berikutan permintaan yang kukuh daripada sektor automotif Eropah yang terus menyokong sentimen pasaran.
Menurut peniaga, sentimen pasaran turut terkesan dengan kebimbangan mengenai jangkaan yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan terus memperketat dasar monetari dan pelaksanaan dasar automotif baharu di California.
"Di AS, perbelanjaan pengguna yang kekal kukuh, inflasi teras yang masih tinggi dan pasaran buruh yang ketat telah meningkatkan jangkaan bahawa Fed terus memperketat dasar monetarinya menjelang pengumuman Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi.
"Pengeluar automotif utama turut mengingatkan bahawa jualan kenderaan di California boleh terkesan sekiranya peraturan baharu berkaitan pengesanan kenderaan dilaksanakan tanpa penangguhan, yang berpotensi menjejaskan aktiviti pasaran automotif," katanya.
Bagaimanapun, katanya penurunan seterusnya dihadkan oleh data pembuatan dan perkhidmatan AS yang lebih baik daripada jangkaan selain permintaan yang menggalakkan daripada sektor automotif Eropah.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menurun 3.5 sen kepada 940.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal rendah tiga sen kepada 789.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial