Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran penurunan untuk ditutup lebih rendah hari ini apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) esok.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, berkata logam berharga itu terus bergerak seiring dengan sentimen risiko pasaran yang lebih meluas, meningkat atau menurun mengikut perubahan selera risiko pelabur.
“Buat masa ini, emas masih bergerak dalam julat yang terhad apabila peserta pasaran menunggu laporan inflasi PCE AS, yang dilihat sebagai petunjuk penting bagi menentukan hala tuju seterusnya pasaran emas,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, kontrak serahan Jun 2026 susut kepada US$4,073.70 setiap auns troy berbanding US$4,118.10 pada Selasa, manakala kontrak Julai 2026 turun kepada US$4,088.10 setiap auns troy daripada US$4,132.50 sebelumnya.
Kontrak Ogos 2026 merosot kepada US$4,110.40 setiap auns troy berbanding US$4,154.10, manakala kontrak September 2026 menyusut kepada US$4,114.90 setiap auns troy daripada US$4,158.60 pada penutupan sebelumnya.
Sementara itu, kontrak Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing turun kepada US$4,134.00 setiap auns troy berbanding US$4,177.70 sebelumnya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 17 lot daripada 19 lot yang direkodkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 82 kontrak berbanding 86 kontrak sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,135.50 setiap auns troy berdasarkan penetapan harga petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA) pada 23 Jun 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial