Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka dengan terus mencatat kenaikan pada Khamis, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham utiliti dan telekomunikasi.
Pada 9.11 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.32 mata atau 0.07 peratus kepada 1,683.45 daripada 1,682.13 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks dibuka tinggi 2.32 mata kepada 1,684.45.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 228 berbanding 116 manakala 250 kaunter tidak berubah, 2,157 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 169.06 juta saham bernilai RM103.08 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa Wall Street ditutup bercampur-campur, dengan kenaikan dalam sektor perindustrian, perkhidmatan pengguna dan penjagaan kesihatan diimbangi oleh penurunan dalam telekomunikasi, minyak dan gas serta bahan asas.
Dow Jones Industrial Average meningkat 0.35 peratus manakala S&P 500 dan Nasdaq Composite, masing-masing menurun 0.10 peratus dan 0.43 peratus.
Beliau berkata indeks serantau utama turut ditutup tinggi, disokong oleh pembelian kukuh dalam saham teknologi. Indeks Hang Seng meningkat 0.33 peratus kepada 23,412.18 mata.
“FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,690 hari ini berikutan pelabur kekal berhati-hati dalam ketidaktentuan luaran yang berpanjangan.
“Sementara itu, niaga hadapan minyak sawit mentah terus kukuh melebihi RM4,600 satu tan, yang boleh memberi sokongan kepada saham berkaitan perladangan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power International dan Sunway, masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM4.15 dan RM5.27, Telekom Malaysia naik 11 sen kepada RM7.50, Sunway Healthcare menambah dua sen kepada RM1.83 dan Hong Leong Bank menokok 24 sen kepada RM22.18.
Bagi kaunter aktif, Pegasus Heights, Top Glove dan Velesto Energy, masing-masing menurun setengah sen kepada 0.5 sen, 69.5 sen dan 28 sen manakala AirAsia X dan GIIB, masing-masing tidak berubah pada RM1.30 dan 43.5 sen.
Kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries meningkat 26 sen kepada RM47.14, Hong Leong Bank naik 24 sen kepada RM22.18, Hong Leong Financial Group menambah 12 sen kepada RM18.30, Telekom Malaysia menokok 11 sen kepada RM7.50 dan Petronas Dagangan naik 10 sen kepada RM18.74.
Kaunter paling rugi ialah Press Metal Aluminium menurun 16 sen kepada RM8.13, Petronas Chemicals berkurangan 12 sen kepada RM3.98, United Plantations merosot 10 sen kepada RM33.52, PJBumi menyusut tujuh sen kepada RM3.82 dan OM Holdings menurun enam sen kepada 65.5 sen.
Indeks FBM Emas naik 17.46 mata kepada 12,492.12, Indeks FBM Top 100 meningkat 18.03 mata kepada 12,326.32 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 6.24 mata kepada 12,382.78.
Indeks FBM Mid 70 naik 61.59 mata kepada 17,948.85 dan Indeks FBM ACE meningkat 18.33 mata kepada 4,785.36.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 57.79 mata kepada 19,814.13, Indeks Tenaga berkurangan 2.57 mata kepada 747.63, Indeks Perladangan menurun 10.52 mata kepada 8,969.67 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.29 mata kepada 183.37.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial