POLITIK > BERITA

Belanjawan 2025 Tetap Dahulukan Keperluan Rakyat - Nurul Izzah

19/10/2024 11:17 PM

GEORGE TOWN, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tetap mendahului keperluan rakyat meskipun berdepan situasi ekonomi global yang mencabar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar berkata hal ini kerana isu kebajikan sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan berusaha meningkatkan penyaluran peruntukan demi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dipenuhi.

“Meskipun ia (belanjawan) tidak mungkin memenuhi idealisme kita, tetapi dari segi langkah tuntas untuk memenuhi keperluan rakyat seperti isu gaji minimum, isu peluang pekerjaan termasuk program-program keselamatan sosial, ia juga memakan jumlah yang sangat tinggi.

“Justeru, belanjawan perlulah digandingkan dengan perancangan reformasi. Sebagai contoh, Program Anak Kita di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan lebih 3,000 sekolah di seluruh Malaysia telah bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil supaya kurikulum, isu anak-anak murid yang terkebelakang atau cicir semasa pandemik dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas dakwaan Belanjawan 2025 tidak memberi penekanan seimbang antara sektor pendidikan dengan pembangunan, selepas menghadiri program agihan muruku MADANI dan teh masala di Little India dekat Lebuh Pasar di sini bersempena dengan sambutan Deepavali.

Di samping itu, beliau berkata penekanan turut diberikan kepada peningkatan kualiti pendidikan terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) supaya dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja lulus, tetapi cemerlang serta berdaya saing.

Selain pendidikan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata sektor kesihatan turut menjadi keutamaan kerajaan dengan mempertingkatkan perbelanjaan bukan sahaja dari segi rawatan, tetapi juga pencegahan termasuk cadangan menaikkan cukai gula sebagai langkah pencegahan terhadap masalah kesihatan awam.

Sebanyak 10,000 bekas muruku dan 1,000 cawan teh masala diagihkan kepada orang ramai yang mengunjungi Little India yang menjadi lokasi tumpuan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Belanjawan 2025 yang diumumkan semalam menyaksikan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM421.0 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), peningkatan 3.3 peratus daripada RM407.5 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 yang disemak semula.

Tiga penerima utama Belanjawan 2025 ialah KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang secara kolektif menyumbang 31 peratus daripada jumlah keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan