POLITIK > BERITA

Pembangkang Cuba Wujudkan Naratif Palsu Penyasaran Subsidi RON95 - Muhammad Kamil

20/10/2024 06:55 PM

IPOH, 20 Okt (Bernama) -- Dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan, dilihat sebagai cubaan mewujudkan naratif palsu bagi mengelirukan rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sebagai seorang pemimpin, Ahmad Fadhli seharusnya memahami dan meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat "separuh masak".

“Mengapa (Ahmad Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40 peratus bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan.

“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan jaminan 85 peratus rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu. Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah ‘separuh masak’ iaitu kerajaan nak tarik subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Ahmad Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu hantaran di laman Facebook mendakwa jangkaan penarikan subsidi RON95 dilaksanakan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept menjadi kenyataan.

Muhammad Kamil berkata hingga kini pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, sebaliknya kerap mewujudkan spekulasi jahat bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi berkenaan bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok kaya dan warga asing.

"Malah, kerajaan juga menegaskan penjimatan itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan