POLITIK > BERITA

BN Akan Kerjasama Dengan PH Pada PRN Sabah - Ahmad Zahid

03/11/2024 03:27 PM

KUCHING, 3 Nov (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengulangi pendirian berhubung kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presiden UMNO itu juga turut memberi jaminan bahawa tiada pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu, dengan penggunaan logo mengikut parti masing-masing.

“Formula yang sama kita akan gunakan (bagi pembahagian kerusi) dan kerjasama dengan lain-lain gabungan (seperti Gabungan Rakyat Sabah - GRS) akan kita lakukan.

“Kita tidak akan tutup pintu perundingan dan kita juga tidak akan terlalu membuka pintu dengan besar … hal ini kita adakan rundingan dengan semua kepimpinan dalam parti komponen,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di sini hari ini. 

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa kenyataan mewakili BN dan PH perlulah datang daripada ketua gabungan dan bukannya daripada mana-mana pemimpin parti.

“Selagi ketua parti gabungan tidak membuat kenyataan, lain-lain itu ialah pendirian individu dan kita (ketua parti) tidak menjadikan hal itu sebagai keputusan parti. Ia (hanya) pendapat (mereka), dan kita (ketua parti) telah selesai (rundingan) pada peringkat parti masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan