POLITIK > BERITA

Hajiji Nasihat Pemimpin Parti Komponen GRS Elak Sikap Penting Diri Sendiri

03/11/2024 06:07 PM

KOTA KINABALU, 3 Nov (Bernama) -- Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan para pemimpin parti komponen gabungan itu supaya mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri dan mengelak melakukan perkara yang boleh menjejaskan usaha gabungan itu membela nasib rakyat.

Beliau berkata pemimpin parti komponen GRS perlu sentiasa mengingati perjuangan asal gabungan itu, iaitu untuk membangunkan Sabah dan membela rakyatnya.

“Kita tidak boleh pentingkan diri kita sendiri, kita kena fikirkan dahulu rakyat kita. Kalau hanya pentingkan diri dan parti (komponen) kita, ini boleh rosakkan perjuangan kita dalam GRS. Maka akan jejaskan usaha kita mentadbir dan bela rakyat, masih jauh lagi jalan kita, banyak lagi kita kena buat.

“Buang ego, buang fikiran yang memudaratkan usaha kita bangunkan Sabah. Itu (sebab) kita panggil kawan-kawan (parti komponen) dalam GRS supaya bersama kita bangunkan Sabah, untuk rakyat kita ini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS di Sembulan di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia,  Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), USNO, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), LDP, dan PCS.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada tahun hadapan, Hajiji berkata gabungan itu mempunyai masa setahun lagi untuk membuat persiapan menghadapi PRN itu, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Beliau berkata perbincangan antara semua parti komponen GRS dengan parti politik terutamanya Pakatan Harapan (PH) dijangka diadakan bulan ini, antara lain berkaitan pengagihan kerusi untuk menghadapi PRN itu.

“Kita akan adakan mesyuarat nanti di pihak GRS dan Gagasan Rakyat untuk kita bincang agihan kerusi ditandingi parti kita dan kerjasama dengan parti lain terutama PH. Sabar, lama lagi ada satu tahun lagi (untuk bubar DUN),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan