PETALING JAYA, 4 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan jawatan mereka sebagai Naib Presiden Bersatu bagi penggal 2024-2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata satu lagi jawatan tersebut dimenangi bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mereka menewaskan tiga calon lain iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor Mohd Rafiq Mohd Abdullah, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
“Radzi mendapat sebanyak 11,690 undi manakala Kiandee mendapat 11,295 undi dan Ahmad Faizal pula dengan 9,278 undi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.
Pada masa sama, Abdul Azim berkata sebanyak 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah dipilih daripada 80 calon yang bertanding.
Antara yang dipilih sebagai ahli MPT Bersatu adalah Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Rosol Wahid, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal dan Dr Afif Bahardin.
Terdahulu, Abdul Azim mengisytiharkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipilih sebagai Presiden Bersatu manakala Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden dengan kedua-duanya menang tanpa bertanding.
Selain itu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dipilih sebagai Pengerusi Tetap Bersatu manakala Mohd Hanafiah Hamzah pula sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.
Abdul Azim turut memaklumkan bahawa sebanyak 169 bahagian berjaya bersidang serta menjalankan pemilihan dan pengundian peringkat MPT dengan 74 bahagian telah menjalankan pemilihan manakala baki 95 bahagian lagi mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan.
Pada masa yang sama, beliau berkata JPP telah menerima sebanyak 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan sepanjang persidangan bahagian berlangsung.
Abdul Azim berkata aduan dan bantahan yang diterima antara lain melibatkan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.
Sementara itu, Radzi ketika ditemui selepas sidang media itu berkata amanat yang diberikan oleh Bersatu kepada beliau merupakan tanggungjawab besar, khususnya untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dalam parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Apa yang lebih penting pada masa ini, katanya adalah memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuh parti agar terus dekat di hati rakyat.
“Bagi kami, apa yang penting ialah pemilihan ini telah berjalan dengan lancar dan teratur. Lebih penting lagi, kita perlu memandang ke hadapan, memperkukuhkan parti dan memastikan kita terus menjadi parti yang dekat di hati rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial