PAPAR, 9 Nov (Bernama) --Mana-mana pihak yang ingin menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak perlu menunggu Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama, ia perlulah dimulakan sekarang sebelum PRN17 yang dijangka diadakan pada tahun depan.
"Sekarang ada tempoh setahun lagi (sebelum PRN17), bekerjasamalah dengan kerajaan. Tunjukkan keikhlasan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Jalan Sabindo dan menerima taklimat daripada Kementerian Kerja Raya di Kampung Suangon di sini hari ini.
Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, bagaimanapun berkata sebarang kerjasama dengan pihak lain akan diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS.
Katanya sebagai gabungan parti yang terdiri daripada pelbagai parti tempatan, keputusan tidak diambil secara bersendirian tetapi mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat.
Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial