POLITIK > BERITA

PRN: DAP Sabah Diberi Autonomi, Bincang Kerjasama Dengan GRS

10/11/2024 03:10 PM

SHAH ALAM, 10 Nov (Bernama) -- DAP Sabah diberikan autonomi untuk mengadakan perbincangan kerjasama dengan Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini kerana DAP Sabah lebih memahami berhubung dinamika dan keadaan politik di negeri itu.

“Semalam saya ke Labuan dan bersama dengan Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe. Beliau ada memberi penerangan berkenaan dinamika dan politik di Sabah dan saya menaruh kepercayaan kepada pimpinan baharu kita,” katanya ditemui selepas Konvensyen Biasa DAP Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz.  

Pada 3 Nov lepas,  Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilapor berkata perbincangan antara semua parti komponen GRS dengan parti politik terutamanya Pakatan Harapan (PH) dijangka diadakan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata dalam tempoh dua tahun ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mencapai kestabilan politik sekali gus menggerakkan ekonomi negara.

“Di peringkat Persekutuan, kita sangat kukuh dari segi kerjasama dan Jemaah Menteri berfungsi dengan lancar bukan sahaja bersama Barisan Nasional tetapi juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.

“Kalau kita dapat membina ekonomi yang kukuh dan mentadbir negara dengan baik dalam tempoh tiga tahun akan datang, jika semua berjalan baik. Sudah tentu kerjasama ini kita harap dapat diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pemilihan Jawatankuasa DAP Selangor untuk penggal baharu berjalan dengan baik dengan barisan kepimpinannya terdiri daripada pelbagai kaum.

Terdahulu, Konvensyen Biasa DAP Selangor 2024 dihadiri 1,653 perwakilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan