SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Sikap mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam atau takfiri dan penyebaran persepsi bahawa Islam perlu 'diselamatkan' di negara ini adalah berbahaya dan perlu ditangani segera, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata perkara itu yang digunakan sebagai modal politik oleh sesetengah pihak perlu dilawan secara berterusan justeru ahli Amanah mestilah memainkan peranan menangkis dakwaan tersebut dengan fakta sama ada secara terus kepada masyarakat mahupun menerusi media sosial.
Menurut Mohamad, Pakatan Harapan (PH) menjadi mangsa naratif itu pada pilihan raya umum lepas.
"Islam terancam dan perlu diselamatkan dengan menolak PH dan gabungannya ialah persepsi yang ditanam pihak lawan untuk memerangkap pemikiran rakyat.
“Fahaman ini ada dalam masyarakat dan kita akan hadap dengan hujah baik, sesuai dengan konsep Islam rahmat untuk semua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Selangor 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi PH negeri, Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.
Selain itu, Mohamad berkata sebarang tuntutan kerusi bagi mendepani pilihan raya di masa hadapan bergantung kepada perbincangan serta keputusan semua parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial