POLITIK > BERITA

PERKENAL KUOTA ETNIK, WANITA DALAM PERWAKILAN PARTI LANGKAH BERANI PKR - SARASWATHY

15/12/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pindaan perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperkenalkan kuota etnik dan wanita dalam kalangan perwakilan parti membantu memperluas penyertaan golongan yang sebelum ini kurang diwakili, khususnya wanita dan pelbagai kumpulan etnik, dalam proses membuat keputusan, kata Naib Presiden parti K. Saraswathy.

Menyifatkan pindaan itu sebagai langkah berani dan progresif, Saraswathy berkata ia juga mencerminkan komitmen PKR dalam memastikan keadilan sosial serta kesaksamaan dalam sistem politik negara.

Beliau berkata dengan memperkenalkan kuota terbabit, parti tidak hanya mempromosikan kepelbagaian, malah membina asas untuk suara dan pandangan yang lebih inklusif.

"Langkah ini boleh mendorong perubahan budaya politik yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum, sambil memecahkan halangan tradisional yang menghalang penyertaan wanita dalam politik," katanya dalam kenyataan mengulas langkah PKR meminda perlembagaan parti hari ini dengan meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pindaan itu dibuat melalui Kongres Khas PKR dihadiri Perdana Menteri merangkap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Saraswathy yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata bagi memastikan keberkesanan kuota itu, ia perlu disertai dengan inisiatif lain seperti program pembangunan kepimpinan dan pendidikan politik, seperti yang ditekankan oleh Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dalam persidangan kongres hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan menyambut baik keputusan yang dicapai dalam kongres khas itu yang mencerminkan komitmen berterusan parti untuk meningkatkan partisipasi politik dan memastikan inklusiviti merentasi batasan jantina dan etnik.

“Partisipasi wanita di peringkat tertinggi parti dapat ditingkatkan menerusi usul pemilihan Perwakilan Biasa Cabang dan Perwakilan Tambahan yang inklusif. Ia akan mengambil kira kuota gender dan etnik minoriti seperti yang ditetapkan oleh MPP berdasarkan demografi di kawasan parlimen,” kata Fadhlina.

Beliau berkata usul pindaan perlembagaan yang diluluskan itu selari dengan hasrat Wanita PKR untuk meningkatkan aktivisme politik dan penglibatan aktif wanita dalam aktiviti sosial kemasyarakatan.

“Usaha untuk memberdaya wanita dalam semua aspek, termasuk daya kepimpinan, perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), suara wanita dijangka menjadi penentu penting kepada hala tuju negara, justeru penting bagi PKR untuk terus mengasah bakat serta daya kepimpinan golongan wanita dan memberi mereka sepenuh perhatian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan