POLITIK > BERITA

Projek PRR Harmoni MADANI Bukti Kerajaan Kota Janji

17/02/2025 01:08 AM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya menjadi bukti bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan MADANI mengotakan janji untuk menyelesaikan isu perumahan membabitkan pekerja ladang di Selangor.

Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR Manivanan Gowin berkata lima ladang terlibat ialah Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.

“Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), isu perumahan pekerja di lima ladang ini akan dibangkitkan. Isu ini juga dibangkitkan dalam PRU15 pada 2022 dan PRK Kuala Kubu Bharu pada 2024.

“Pimpinan PH dan Kerajaan MADANI telah memberikan komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Hari ini terbukti bahawa janji yang diberikan kepada rakyat khususnya pekerja ladang di lima ladang berkenaan, dikotakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan majlis pecah tanah PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya mahu projek berkenaan dijadikan model kerjasama antara estet dan kerajaan dalam membangunkan perumahan pekerja.

Pada 3 Mei tahun lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata masalah perumahan yang membelenggu 245 keluarga melibatkan lima ladang di Bestari Jaya, Hulu Selangor sejak berdekad lepas bakal diselesaikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Manivanan berkata pencapaian dan kejayaan seperti itu hanya dapat direalisasikan dengan proses rundingan dan kerjasama semua pihak seperti yang ditekankan Perdana Menteri.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri akan meneruskan agenda beliau untuk membela nasib rakyat biasa tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan status mereka.

“Isu perumahan pekerja ladang hanya boleh diselesaikan oleh seorang pemimpin yang mempunyai niat dan hasrat yang baik dan jujur untuk membela nasib rakyat yang tertindas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan