KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua pemimpin politik di Sabah dapat berlapang dada dan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang demi menjaga kepentingan rakyat, bukannya hanya memikirkan parti mereka semata-mata.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata bagi BN, parti itu bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk sebuah gabungan yang mampu memberikan kestabilan politik di negeri itu.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa BN tidak akan berhenti untuk terus berunding dengan mana-mana parti politik dalam menghadapi PRN Sabah yang akan datang, bagi memastikan rakyat di negeri ini memperoleh hasil terbaik pada pilihan raya tersebut.
"Saya sangat terbuka untuk menjalin kerjasama, pintu tidak akan ditutup rapat tetapi jangan pula dibuka terlalu luas. Kami sangat fleksibel dalam mengadakan perundingan dengan parti gabungan (dalam Kerajaan Perpaduan) demi mencapai kestabilan politik Sabah.
"Rakyat perlu diutamaan supaya masalah politik dapat diselesaikan. Pemimpin parti perlu lebih terbuka, berlapang dada demi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial