GEORGE TOWN, 9 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk mencari calon yang sesuai bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April ini.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata gabungan itu mempunyai calon yang layak dan telah menyenarai pendek calon yang berpotensi untuk bertanding.
Beliau berkata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak sudah melakukan penilaian sewajarnya dalam pemilihan calon.
"Di pihak BN, kita telah mula melihat dari segi calon-calon yang berkelayakan dan pada asasnya saya boleh sebutkan di sini bahawa BN tidak mempunyai masalah dari segi mencari calon yang sesuai kerana terdapat beberapa calon yang berkelayakan untuk DUN Ayer Kuning," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kembara Ramadan KPT 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam ini.
Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata calon yang akan dipilih kelak pastinya calon yang boleh bekerja dan diterima masyarakat.
"Kami tidak mengecualikan sesiapa, sama ada wanita, belia atau orang dewasa untuk menjadi calon (DUN Ayer Kuning) malah membabitkan semua kategori diwakili iaitu wanita, belia dan Ahli Jawatankuasa Bahagian kerana kita mahukan calon yang benar-benar boleh menyumbang sebagaimana calon sebelum ini yang telah menunjukkan prestasi yang berkesan,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Pada 7 Mac lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini membabitkan 31,897 pengundi manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial