KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Tidak timbul isu bahawa UMNO akan tergugat susulan siasatan kes rasuah yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kes itu adalah bersifat individu dan tidak membabitkan parti.
"Perkara itu bukanlah satu isu dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO. Kami menganggap kes ini bersifat peribadi. Ia tiada kaitan dengan parti secara rasmi," katanya pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian ketika mengulas persoalan sama ada kes rasuah melibatkan Ismail Sabri akan mengganggu kestabilan UMNO dan adakah perkara tersebut menjejaskan imej parti berkenaan.
Ahmad Zahid mengulangi bahawa UMNO tidak terlibat dengan wang dan jongkong emas yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah mengaitkan Ismail Sabri.
“Tiada kaitan langsung untuk dana politik atau kutipan yang dibuat oleh UMNO. Kita serah kepada SPRM untuk ambil tindakan susulan dan jika tindakan perundangan sekalipun, terserah kepada SPRM serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di sebuah ‘safehouse’ susulan serbuan yang dilakukan oleh pihaknya.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial