POLITIK > BERITA

Adam Adli Saran Perwakilan Kongres AMK Ketengah Usul Beri Manfaat Kepada Parti, Kerajaan

23/05/2025 03:59 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim mengingatkan perwakilan Kongres Nasional AMK 2024/2025 supaya mengetengahkan usul yang boleh memberi manfaat kepada pembentukan dasar parti dan kerajaan semasa sesi perbahasan.

Beliau berkata usul yang dikemukakan perlu bersandarkan kepada persoalan sebenar dan tidak seharusnya terbatas dalam ruang lingkup dalaman parti semata-mata.

Adam Adli berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada kongres itu yang bertemakan ‘Membangun MADANI, Menuju Reformasi’ di sini hari ini.

Menyentuh mengenai kekhuatiran berlakunya perpecahan dalaman PKR selepas pemilihan kepimpinan baharu, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata berdasarkan pengalaman pada pemilihan lepas, beliau yakin situasi terbbait tidak akan berlaku.

“Paling mustahak adalah bagaimana selepas pertembungan tersebut kita tautkan kembali parti. Pemilihan PKR memang terbuka sebab itu ia dilihat panas, tetapi saya beri jaminan semua yang bertanding ini adalah orang yang sangat setia dengan perjuangan parti,” katanya.

Kongres Nasional PKR 2024/2025 berlangsung tiga hari bermula malam tadi dengan perasmian serentak AMK dan Wanita, disusuli ucapan dasar, sekali gus perasmian kongres oleh Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Kongres berkenaan juga menyaksikan berlangsungnya proses pemilihan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025-2028 merangkumi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat yang bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan