JOHOR BAHRU, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membahagikan masa dalam tugasan membangunkan negara dan pada masa sama, memperkasa kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata bermula Jun ini, beliau akan memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk menumpukan kepada kerja-kerja membina kekuatan parti termasuk di peringkat Cabang.
Beliau berkata usaha itu termasuk bagi memantapkan hubungan dan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan MADANI.
“(Sebelum ini), saya terbeban dengan tanggungjawab baharu (sebagai Perdana Menteri), saya nak negara ini bangkit jadi negara hebat, cita-cita saya tinggi untuk lihat beberapa tahun lagi Malaysia ini jadi negara hebat, jadi saya terlalu tumpu pada urusan negara.
“Kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat PKR), saya mohon maaf kerana sepanjang hampir tiga tahun saya jadi Perdana Menteri, saya paling kurang ambil berat soal parti. Apakah ia keputusan wajar? Semestinya tidak,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini malam ini.
Menyentuh mengenai pemilihan peringkat pusat PKR yang berlangsung hari ini, beliau mahu ahli parti itu kembali ‘bertaut’ selepas proses berkenaan selesai malam ini.
“Saya ajak rakan-rakan, mari kita pupuk semangat, jangan andaikan yang menang itu menang semua, monopoli semua, yang kalah itu kalah terus, belajarlah daripada kelemahan, guna pengalaman kita, beri sumbangan sebaiknya (kepada parti),” kata beliau.
Beliau turut menyeru seluruh ahli PKR agar kembali memperkukuh parti dan merangkul kekuatan yang ada untuk bergerak ke hadapan bersama-sama.
Pada masa sama, Anwar menasihati mereka agar lebih berhemah dalam berbicara selain tertib ketika melontarkan teguran.
Perdana Menteri juga berkata hubungan baik antara parti gabungan dalam Kerajaan MADANI penting untuk diperkukuh.
“Negara akan rugi jika ada berlaku keretakan dalam hubungan parti di dalam gabungan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial