POLITIK > BERITA

Pemakluman Rasmi Kepada SPR Kekosongan Luar Jangka Tiga DUN Perlis Minggu Depan - Speaker

26/12/2025 11:53 AM

KANGAR, 26 Dis (Bernama) -- Pemakluman secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan dibuat minggu depan.

Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan berkata pihaknya mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian selepas mengumumkan berlaku kekosongan itu bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji semalam.

“Pihak saya ambil sedikit masa untuk maklum secara rasmi kepada SPR kerana perlu selesai beberapa perkara terlebih dahulu,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rus'sele pada sidang media di Kompleks Seri Putra di sini semalam memaklumkan kekosongan luar jangka itu selepas keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan dari PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi tiga DUN berkenaan.

Speaker DUN itu juga dilaporkan berkata beliau berpendapat terdapat keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan di ketiga-tiga kawasan berkenaan demi kepentingan kestabilan kerajaan meskipun usia DUN Perlis sudah melebihi tiga tahun pada 18 Dis lepas.

Sebelum ini, media melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di negeri itu didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Berikutan itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media dua hari lepas (24 Dis) memaklumkan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu manakala seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) dari PKR bagi kerusi DUN Indera Kayangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan