POLITIK > BERITA

BN Lancar Jentera PRK Kinabatangan

10/01/2026 05:08 PM

KINABATANGAN, 10 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan jentera pilihan raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dengan tekad untuk mempertahankan kedua-dua kerusi tradisi parti itu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Datuk Jafry Ariffin, berkata jentera parti sedia digerakkan bagi membantu Mohd Kurniawan Naim Moktar (Kinabatangan) dan Mohd Ismail Ayob (Lamag), walaupun PRN Sabah ke-17 baru sahaja diadakan pada 29 Nov lepas.

Beliau berkata gerak kerja kempen BN turut mendapat sokongan daripada komponen Kerajaan Perpaduan di Sabah, termasuk daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Insya-Allah, proses ini akan mengambil masa satu hingga dua hari untuk menggerakkan jentera di DUN Sukau, Lamag dan Kuamut.

"Kita akan bekerja sehabis baik untuk memastikan kedua-dua kerusi ini dapat dipertahankan,” katanya selepas majlis pelancaran jentera di sini hari ini.

Jafry, yang juga Pengerusi BN Sabah menyifatkan gandingan dua calon muda itu sebagai langkah strategik serta tidak asing dikalangan penduduk setempat selain amat memahami aspirasi rakyat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Ismail berkata walaupun dianggap orang baharu dalam keluarga besar BN, beliau bersedia memberikan komitmen penuh dan terbuka menerima sebarang nasihat daripada kepimpinan parti demi memastikan kemenangan BN.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari dengan hari pengundian pada 24 Jan, manakala pengundian awal pada 20 Jan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan