POLITIK > BERITA

PRK Kinabatangan: Naim Moktar Akui Pikul Amanah Berat, Tekad Sambung Legasi Bapa

14/01/2026 09:04 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KINABATANGAN, 14 Jan (Bernama) -- Memastikan kemenangan terus berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan meneruskan kesinambungan legasi bapanya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Parlimen Kinabatangan antara cabaran dihadapi Mohd Kurniawan Naim.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan itu mengakui amanah yang dipikulnya sangat berat, namun menzahirkan komitmen untuk berjuang bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu terus terbela.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan yang lebih mesra disapa sebagai Naim Moktar itu turut mengakui berdepan harapan tinggi pengundi yang ditemuinya semasa berkempen yang mahu beliau menyambung khidmat bapanya yang telah menabur jasa selama lebih dua dekad di kawasan itu sejak 1999.

“Saya akui sepanjang masa saya membantu ayah saya berkhidmat untuk penduduk Kinabatangan, ia bukanlah tugas yang mudah. ​​Saya tahu bagaimana beliau bekerja, dan ia adalah satu beban bagi saya untuk mengekalkan momentum ini.

“… tetapi apabila sudah tiba masanya, mahu atau tidak mahu, ini tanggungjawab saya apabila telah dipilih oleh parti (untuk bertanding di Parlimen Kinabatangan). Saya akan usahakan kalau tidak lebih baik, sama baik dengan yang beliau (Bung Moktar) telah usahakan,” katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

Berhadapan kritikan bahawa pencalonannya dipengaruhi oleh faktor legasi keluarga, Naim Moktar, 32, berkata perkara itu diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti dan bukan datang daripada permintaannya.

Beliau berkata sejak terlibat dalam arena politik pada 2013 sebagai ahli biasa UMNO, beliau lebih selesa berperanan di belakang tabir dengan fokus kepada kerja-kerja pengukuhan parti berbanding menonjolkan diri, namun bersedia menggalas tanggungjawab yang diberi kepimpinan parti.

Bendahari Pemuda UMNO pusat itu berkata walaupun tanggungjawab itu datang bersama tekanan, namun beliau kekal fokus untuk berkhidmat secara berkesan di samping menegaskan akan memperjuangkan isu persempadanan semula Parlimen Kinabatangan yang disifatkannya terlalu luas.

“Keutamaan saya ialah memperjuangkan peruntukan untuk Kinabatangan. Kawasan ini seluas Johor, tetapi hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen. Disebabkan keluasan yang terlalu besar dan (kedudukan penduduk) yang berselerak, saya akan memperjuangkan persempadanan semula supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan di semua tempat dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Parlimen Kinabatangan, yang merangkumi keluasan kira-kira 18,068 kilometer persegi dengan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau berada di bawahnya, hampir menyamai keluasan negeri Johor yang berkeluasan 19,210 kilometer persegi dan mempunyai 10 daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Pontian, Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat dan Muar.

Mengulas mengenai persaingan tiga penjuru pada PRK berkenaan, Naim Moktar yang juga Exco Pemuda BN berkata meskipun masih belum cukup pengalaman, beliau tidak memandang mudah cabaran yang diberikan dua lawannya.

Beliau berkata politik bukan sekadar mengenang jasa lepas, sebaliknya soal memastikan suara masyarakat Kinabatangan dibawa secara konsisten dan berkesan di peringkat nasional.

“Saya akui mencipta kemenangan ini bukan mudah (kerana) lawan saya juga orang berpengalaman. Namun apa yang saya tawarkan ialah masa depan dan harapan supaya suara masyarakat Kinabatangan dapat dibawa secara konsisten dan tidak ada mana-mana golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri dan negara,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Naim Moktar ditentang Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Satu lagi PRK ialah DUN Lamag yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 24 Jan manakala undi awal pada 20 Jan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan