POLITIK > BERITA

DAP Kekal Prinsip Penyandang Asas Pembahagian Kerusi Pilihan Raya

18/01/2026 02:36 PM

KLANG, 18 Jan (Bernama) -- DAP kekal dengan pendirian mempertahankan prinsip bertanding di kerusi yang pernah dimenangi sebagai asas utama pembahagian kerusi dalam kerjasama politik bagi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata prinsip penyandang itu, menjadi pegangan parti bagi memastikan kerjasama dalam gabungan politik dilaksanakan secara adil dan telus.

“Jika bekerjasama sebagai satu gabungan, pembahagian kerusi mesti berasaskan prinsip penyandang kerana kami telah berkorban dalam pilihan raya negeri lepas.

“Kita menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang dimenangi DAP kepada UMNO, dan itu jelas membuktikan keikhlasan DAP,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen DAP Selangor 2025, di sini hari ini.

Beliau berkata pengorbanan itu seharusnya difahami sebagai bukti komitmen DAP dalam menjayakan kerjasama politik bersama rakan gabungan.

Loke berkata adalah tidak munasabah sekiranya masih wujud dakwaan bahawa DAP tidak pernah bekerjasama, sedangkan pengorbanan berkenaan dibuat secara terbuka.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata DAP bersikap telus mengenai kerjasama dengan UMNO dalam kerangka Kerajaan Perpaduan PH-BN, termasuk pendekatan yang diambil terhadap penyokong parti.

Loke berkata DAP turut berkempen bagi calon UMNO dalam pilihan raya kecil (PRK), sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kerjasama itu.

“Sebab itu saya ingatkan semua pihak supaya tidak menipu diri sendiri dan juga pengundi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke ketika berucap merasmikan konvensyen itu menafikan kewujudan sebarang kumpulan dalaman dalam DAP dan menegaskan parti itu bergerak sebagai satu pasukan di bawah satu kepimpinan.

Beliau turut menegaskan DAP bukan ditubuhkan untuk bermusuhan dengan mana-mana pihak, sebaliknya untuk membawa kebaikan kepada semua demi kemajuan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan