POLITIK > BERITA

Kerajaan Tegas Selamatkan Negara Daripada Rasuah, Salah Guna Kuasa - Anwar

07/02/2026 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha menyelamatkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemimpin kerajaan serta pegawai kanan yang berpengaruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya berpegang teguh kepada prinsip integriti dan keadilan, serta komited memastikan negara dibersihkan daripada segala bentuk penipuan dan rompakan harta rakyat.

“Ini satu-satunya kerajaan yang bertegas bahawa negara mesti diselamatkan. Kita tidak tolak ansur, dan sebab itu mereka tidak senang dan takut dengan kita.

“Rakyat dan negara ini mesti menolak segala ikhtiar orang yang mahu menipu dan merompak harta negara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan (PKR) Selangor 2026 di Gombak, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan serta Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Saleh.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan telah mengambil tindakan berani dan konsisten terhadap kes-kes salah laku melibatkan tokoh politik serta pegawai tinggi, sesuatu yang jarang berlaku secara menyeluruh sebelum ini.

Beliau berkata tindakan tegas terhadap pemimpin serta individu atau pegawai tinggi kerajaan yang ‘menyakau’ harta negara akan terus dilaksanakan secara berterusan sehingga kerajaan pimpinannya yakin negara kembali berada pada landasan yang betul.

Perdana Menteri juga mengakui pendekatan itu ada cabaran dan risikonya termasuk tekanan politik serta reaksi daripada pihak berkepentingan yang terjejas susulan tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa.

“Saudara ingat kita tak takut ada risiko? Berapa ramai orang berpengaruh kita tahan … ,” katanya sambil menegaskan keselamatan dan masa depan negara jauh lebih utama daripada kepentingan individu atau kelompok tertentu.

Anwar berkata tindakan tegas kerajaan turut mengundang pelbagai naratif songsang dan serangan politik, termasuk cubaan memutarbelitkan fakta bagi melemahkan keyakinan rakyat.

“Berapa lama rakyat ditipu dengan janji-janji palsu. Mereka yang kononnya jadi juara kaum, tetapi bila disemak (dalam) akaun berbilion ringgit. Itulah sebab mereka takut dengan kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam konteks negara demokrasi, kritikan adalah dibenarkan, namun sebarang usaha menghasut kebencian, menggugat keharmonian atau keselamatan negara tidak akan dibiarkan.

“Kritik boleh, negara ini bebas. Tetapi kalau cuba ganggu gugat keselamatan negara, percayalah kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa perlu disokong semua pihak, termasuk rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi memastikan reformasi yang dilaksanakan mencapai matlamatnya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh institusi dan memperbaiki kelemahan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu serta memastikan tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan.

“Tiada negara akan selamat jika kebencian dibiarkan, jika rasuah dianggap perkara biasa. Negara ini hanya akan berjaya jika kita berani bertindak dan sanggup menanggung risiko demi kebenaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan