POLITIK > BERITA

Bersatu Adakan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi

14/02/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bersatu hari ini mengadakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi di kediaman presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini, susulan pergolakan dalaman parti itu.

Mesyuarat yang bermula 10 pagi itu masih berlangsung ketika ini.

Antara pemimpin yang hadir ialah Naib Presiden Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Bendahari Agung Rina Harun, dan Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dijadual mengadakan satu taklimat berhubung hala tuju dan “reset” politik pada 2 petang, di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini. 

Setakat semalam, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat 17 ahlinya termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.

Turut dipecat ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, dan Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka), yang juga Ketua Pembangkang negeri itu.

Selain itu, sembilan Ketua Bahagian Bersatu yang dipecat ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan