POLITIK > BERITA

Amir Hamzah Belum Buat Keputusan Sama Ada Mahu Bertanding PRU

15/02/2026 05:55 PM

BALIK PULAU, 15 Feb (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau sebaliknya.

Beliau sebaliknya berkata mahu terus berkhidmat kepada negara sebagai seorang teknokrat.

Amir Hamzah berkata reputasi beliau selama ini terbina sebagai penjawat profesional yang menyumbang kepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan dengan peranan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya melalui jawatan Menteri Kewangan II yang disandang pada masa ini.

“Biarlah saya berusaha membantu negara dengan cara yang saya boleh dan pada masa ini, saya mempunyai peluang untuk menabur bakti melalui tugas saya sebagai Menteri Kewangan II,” katanya selepas Sesi Turun Padang Kampung Angkat MADANI YB Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan akan bertanding pada PRU akan datang. 

Amir Hamzah merupakan anak jati Pulau Pinang dan dilahirkan di Hospital Besar Pulau Pinang, namun membesar di Kuala Lumpur berikutan perkhidmatan ayahnya dalam sektor kerajaan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 12 Dis 2023 hingga 11 Dis 2026.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan